Perdana Menteri mahu diaspora Malaysia sentiasa memainkan peranan dan menjaga imej negara di mata dunia selain mencari kesempatan untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan perubahan baru agar tidak terperangkap dengan pemikiran lapok.
Perkara itu dinyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri pada majlis Makan Malam yang disertai kira-kira 300 diaspora Malaysia di Manama.
Dalam pertemuan berkenaan beliau turut menerangkan pelbagai usaha kerajaan Madani untuk kesejahteraan rakyat.
“Saya turut menjawab pelbagai pertanyaan daripada mereka meliputi beberapa perkara antaranya soal penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Manama, peluang pekerjaan, pelaburan dan kewangan Islam, termasuk isu politik tempatan.
Saya juga titipkan pesan buat mereka agar senantiasa menjaga imej negara selain perlu mencari kesempatan untuk melengkapkan diri dengan pelbagai perkara khususnya ilmu dan perubahan baru agar tidak terperangkap dengan pemikiran lapok,” katanya.
Beliau pada masa sama yakin pengalaman dan semangat luar biasa dispora Malaysia di luar negara dapat digunakan untuk membangunkan kerajaan yang berjaya.
“Saya percaya pengalaman dan semangat luar biasa mereka di luar negara dapat kita gunakan untuk membangun sebuah negara Madani yang berjaya dari segi ekonomi dengan budaya yang dinamik, berbilang kaum, dan berbilang agama,” katanya.
Terdahulu Anwar tiba di Bahrain bagi lawatan rasmi ke negara itu atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Salman Hamad Al- Khalifa. – MalaysiaMADANI