Berita

‘Agenda kesejahteraan pesawah terus jadi keutamaan tanpa mengira politik’

Agenda kesejahteraan pesawah akan terus menjadi keutamaan tanpa mengira jalur politik, selaras dengan prinsip Madani yang dijulang kini, tegas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Madani akan terus membela nasib pesawah miskin dengan pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan pihak kerajaan.

“Kerajaan Madani akan terus bela nasib pesawah dengan kerjasama PadiBeras Nasional (BERNAS) yang akan membuat pengagihan segera sebanyak RM15 juta bagi membolehkan golongan berkenaan melakukan persiapan Ramadan dan Syawal.

“Peruntukan awal sekitar RM1 bilion daripada keseluruhannya RM5.37 bilion ini juga membuktikan kesungguhan kerajaan Madani dalam menambah baik ekosistem pertanian di jelapang padi negara,” katanya.

Terdahulu beliau hadir ke Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Infrastruktur bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim dalam Tempoh Dua Tahun, semalam.

Beliau berkata, projek tanam padi lima musim dua tahun itu perlu disegerakan dan kerajaan negeri disarankan untuk bekerjasama dengan agensi di bawah Kementerian pertanian dan keterjaminan Makanan(KPKM) bagi meningkatkan produktiviti pesawah.

Malah, projek tersebut antara yang diberikan tumpuan pihaknya dan berharap para pesawah dapat memberikan kerjasama bagi menjayakannya.


“Saya tegaskan kepentingan untuk projek ini disegerakan selain dibuat dengan penuh tersusun sekali gus dapat meningkatkan produktiviti penghasilan beras negara,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri diminta agar mempercepatkan proses pengambilan tanah bagi projek berkenaan.

“Kita sedang bercakap tentang masalah pesawah dan ini amat berkaitan dengan masalah hidup mereka dalam mencari makan. Melambatkan projek ini bermakna membebankan orang,” katanya.- MalaysiaMADANI