Penjawat awam yang baharu dilantik diingatkan untuk lebih peka terhadap isu-isu semasa terutama megatrend berkaitan kementerian yang memberi impak kepada rakyat dan negara.
Pesanan tersebut dinyatakan Datuk Seri Isham Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam sesi pertemuan bersama empat Kadet Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) INTAN Tahun 2024/2025 yang ditempatkan di KPKM.
“Pegawai muda perlu memperluaskan pengetahuan dan memahami isu semasa melalui pembacaan, menguasai kemahiran bahasa dalam menyediakan dokumen rasmi yang berkualiti.
“Kemahiran komunikasi juga perlu dititik beratkan bagi memudahkan urusan untuk berinteraksi dan rundingan dengan pelbagai pihak secara profesional,” katanya.
Dalam pertemuan sama, Isham juga mengingatkan pegawai muda agar berusaha menguasai bidang dan tugas utama mereka dan menitik beratkan tugasan menerusi komponen utama iaitu Pengurusan, Operasi, Pembangunan Dasar dan Penguatkuasaan undang-undang.
Beliau pada masa sama turut mengharapkan ke semua pegawai baharu dapat menyesuaikan diri dan menggunakan peluang sepanjang ditempatkan di kementerian berkenaan dengan menimba lebih banyak pengetahuan.
“Diharapkan mereka dapat menimba banyak pengetahuan dan pengalaman berharga sementara berada di kementerian ini.
“Dalam tempoh 5 minggu ini, Kadet PTD akan menjalani kajian berdasarkan isu semasa kementerian khususnya dalam pembangunan sektor pertanian negara dengan mengaplikasikan management tools yang bersesuaian,” katanya. – MalaysiaMADANI