Perdana Menteri mengambil kesempatan menjemput pemimpin-pemimpin dunia untuk melawat Malaysia sempena Kepengerusian ASEAN 2025 ketika menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jemputan berkenaan dibuat ketika mengadakan mesyuarat dua hala bersama beberapa pemimpin dunia yang bertujuan merapatkan lagi hubungan dan kerjasama strategik untuk kepentingan masa hadapan.
Antara pemimpin dunia yang sempat beliau temui adalah Perdana Menteri Libya, Perdana Menteri Belanda dan juga Perdana Menteri Somalia.
“Dalam sela-sela Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, saya sempat mengadakan mesyuarat dua hala dengan beberapa pemimpin dunia bagi merapatkan lagi hubungan dan kerjasama strategik untuk kepentingan bersama di masa hadapan.
“Antaranya, pertemuan dengan Perdana Menteri Libya, Abdul Hamid Dbeibeh kami senada untuk melonjakkan lagi sinergi kerjasama di peringkat ekonomi, pelaburan dan perdagangan,” katanya.
Malah di akhir pertemuan beliau mengambil kesempatan untuk menjemput pemimpin-pemimpin dunia untuk melawat Malaysia sempena Pengerusi ASEAN 2025.
Beliau menambah ketika bertemu dengan Perdana Menteri Belanda, Dick Schoof Malaysia berhasrat untuk meningkatkan hubungan pendidikan, ekonomi dan perdagangan di masa hadapan.
Manakala, dalam pertemuan dengan Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud pula mereka bersepakat untuk bertukar pandangan dan berhasrat merancakkan lagi hubungan dua hala selain isu semasa termasuk gencatan senjata di Gaza. – MalaysiaMADANI