Berita

Aktif sertai perubahan dunia, bawa pulangan besar kepada Malaysia dan ASEAN – PM

Malaysia kini aktif menyertai perubahan dunia dalam beberapa bidang utama seperti semikonduktor, digital, tenaga, hidrogen dan kecerdasan buatan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Country Dialogue on Malaysia bersempena Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos Switzerland.

“Saya maklumkan hadirin bahawa Malaysia perlu berada dalam radar sinergi dan pelaburan mereka untuk manfaat bersama di masa hadapan.

“Polisi kerajaan ketika ini, sangat aktif menyertai arus perubahan dunia dalam bidang semikonduktor, digital, tenaga, hidrogen, dan kecerdasan buatan selain memberi penekanan kepada aspek kesihatan dan pendidikan,” ujarnya.

Beliau pada masa sama berkata, perkara berkenaan bakal membawa pulangan kepada Malaysia dan ASEAN secara menyeluruh.

“Ini semua bakal membawa pulangan besar kepada Malaysia dan ASEAN secara menyeluruh apabila pelabur asing mula menjelma lantas memainkan peranan kepada perubahan ekonomi sejagat,” tegas beliau.

Beliau kini dalam lawatan kerja selama tiga hari menghadiri WEF 2025, yang kali pertama dihadiri beliau sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada 2022. – MalaysiaMADANI