Berita

MARDI Langkawi hasilkan cili berkualiti tinggi, mampu tingkatkan pengeluaran


Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan varieti cili baharu yang berkualiti tinggi serta diyakini meningkatkan hasil pengeluaran cili tempatan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak berkata, pengisytiharan Varieti Baharu Cili MARDI ini dilihat sebagai kejayaan kepada petani tempatan sekali gus berjaya mengurangkan kebergantungan cili import.

“Varieti Cili MARDI ini merupakan hasil daripada program penambahbaikan yang dijalankan menggunakan teknologi moden dan penyelidikan intensif.

Cili ini adalah hasil kacukan antara dua genotip terpilih, iaitu Ch 234-14 (MC 11) dan Ch 231-5, yang terbukti mampu melawan terhadap penyakit antraknos, musuh kepada penanam cili di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Varieti Baharu Cili MARDI di Taman Agroteknologi MARDI Langkawi, semalam.

Turut hadir adalah Pengerusi MARDI, Dr. Azman Ismail, Ketua Pengarah Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani serta Ahli-ahli Lembaga Pengelola MARDI, pegawai-pegawai kanan KPKM dan MARDI.

Program penanaman cili ini turut melibatkan kerjasama  Pertubuhan Peladang Kawasan (PKK) Langkawi yang bertanggungjawab membantu dalam menyediakan infrastruktur.

Mengulas lanjut, Isham berkata, Varieti Baharu Cili MARDI ini  mempunyai ketahanan terhadap penyakit serta hasil yang tinggi, dengan potensi pengeluaran sekitar 20 hingga 30 metrik tan sehektar dalam tempoh lima hingga enam bulan.

Program penanaman cili ini turut melibatkan kerjasama  Pertubuhan Peladang Kawasan (PKK) Langkawi yang bertanggungjawab membantu dalam menyediakan infrastruktur.

Selain menyediakan kawasan penanaman bagi memastikan penghasilan cili berkualiti tinggi.

Isham pada masa sama memberi keyakinan MARDI akan terus memberikan khidmat sokongan teknikal dan latihan kepada petani dalam memastikan mereka dapat menanam Cili MARDI dengan efektif dan berkualiti tinggi. – MalaysiaMADANI