Berita

Program 2TM beri ruang rakyat fahami inisiatif dan usaha reformasi Kerajaan MADANI

SEMPENA dua tahun kerajaan Madani, Program 2 Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 bakal dianjurkan bagi memberi pendedahan secara langsung kepada rakyat selain menguar-uarkan pelbagai inisiatif serta dasar baharu kerajaan. 
 
Sekretariat (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam dalam kenyataannya memaklumkan, program yang bermula 22 hingga 24 November ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu turut membentangkan laporan berkala mengenai status pelaksanaan yang telah diambil kerajaan. 
 
“Program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) itu adalah selari hasrat kerajaan untuk melakukan transformasi terhadap perkhidmatan awam. 
 
Bertemakan, ‘Madani di hati, rakyat disantuni’, program itu bertujuan memberi ruang secara dekat kepada rakyat supaya lebih memahami usaha dan inisiatif kerajaan serta usaha reformasi perkhidmatan awam yang diterjemahkan untuk manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya. 
 
Lebih menarik  program berkenaan juga bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai hala tuju dan matlamat kerajaan yang berpaksikan kepentingan rakyat. 
 
Sepanjang penganjuran konvensyen, beberapa sesi wacana membabitkan wakil pihak kerajaan dan swasta termasuk ahli akademik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  turut diadakan.

Tambahnya, sesi berkenaan merupakan wadah bagi pihak kerajaan untuk mendapatkan maklum balas secara terus selain disasarkan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengunjung.

“Input daripada rakyat dapat memantapkan lagi penambahbaikan pelaksanaan dasar kerajaan dan menyesuaikan langkah pembangunan agar lebih relevan dan memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat,” katanya. 
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di jangka menyempurnakan program itu pada 23 November. 

Orang awam dijemput untuk mengambil bahagian serta memberi maklum balas kepada kerajaan bagi tujuan penambahbaikan secara berterusan selain memanfaatkan pelbagai perkhidmatan serta aktiviti yang disediakan. – MalaysiaMADANI