Berita

3,000 jawatan kosong menanti pengunjung di Dua Tahun Kerajaan MADANI

PROGRAM Dua Tahun Kerajaan MADANI dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)  menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung termasuk kira-kira 3,000 kekosongan kerja dalam pelbagai  jawatan.

Perkara berkenaan dinyatakan Ketua Komunikasi Korporat Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri, Sapian Mamat ketika menjadi tetamu pada Program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio.

Katanya sebanyak 40 majikan terlibat dalam karnival kerjaya selain terdapat lebih 150 perkhidmatan terpilih dalam program yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 November ini.

Selain itu agensi-agensi kerajaan akan membuka kaunter khas seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyediakan kaunter bayaran saman dan pertukaran topi keledar, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, tawaran pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 60 peratus.

Lebih menarik, program itu memberi peluang orang ramai mendapat barangan keperluan dengan tawaran harga menarik menerusi Jualan MADANI yang disertai 80 usahawan bermula 9 pagi hingga 6 petang sepanjang tiga hari.

Bagi penjawat awam pula mereka digalakkan  mendapat manfaat daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menyediakan khidmat nasihat urusan pencen dan persaraan, program penajaan dan penerangan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Lebih menarik, setiap negeri akan melakukan satelite event yang menyaksikan pelbagai aktiviti menarik diakukan secara serentak di seluruh negara.

Di Kompleks Belia dan Sukan seluruh negara juga akan diadakan beberapa aktiviti menarik termasuk Program Senamrobik.

Malah, orang juga berpeluang mendapat diskaun yang ditawarkan di Putrajaya Cruise dan Pulse Grande Hotel sempena program ini.

Sapian menjelaskan program anjuran bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) itu adalah selari hasrat kerajaan untuk melakukan transformasi terhadap perkhidmatan awam.

Bertemakan, ‘Madani di hati, rakyat disantuni’, program ini bertujuan memberi ruang secara dekat kepada rakyat supaya lebih memahami usaha dan inisiatif kerajaan serta usaha reformasi perkhidmatan awam yang diterjemahkan untuk manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.

Lebih menarik  program berkenaan juga bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai hala tuju dan matlamat kerajaan yang berpaksikan kepentingan rakyat.

Tambah beliau, sepanjang penganjuran konvensyen, beberapa sesi wacana membabitkan wakil pihak kerajaan dan swasta termasuk ahli akademik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  diadakan.

Sesi berkenaan merupakan wadah bagi pihak kerajaan untuk mendapatkan maklum balas secara terus selain disasarkan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengunjung.

“Input daripada rakyat dapat memantapkan lagi penambahbaikan pelaksanaan dasar kerajaan dan menyesuaikan langkah pembangunan agar lebih relevan dan memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat,” katanya.  – MalaysiaMADANI