Berita

Malaysia beri sokongan penuh dengan Mesir, kecam provokasi Zionis

MALAYSIA bersolidariti penuh bersama Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) terhadap usaha-usaha negara berkenaan sebagai pengantara genjatan senjata kekal terhadap penduduk Gaza. 
 
Kementerian Luar menerusi kenyataan berkata, sikap tidak berkompromi dan keangkuhan rejim Zionis Israel yang kerap mengubah syarat-syarat jelas menjadi punca utama perjanjian gencatan senjata masih belum dicapai sehingga kini. 
 
“Hal ini terbukti melalui kenyatan provokatif yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Isnin lalu. 
 
“Malaysia dengan itu mengecam keras kenyatan tersebut termasuk tuduhan tidak berasas terhadap Mesir dan ia adalah provoaktif, tidak bertanggungjawab  dan tidak wajar,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, Netanyahu mendakwa Mesir membenarkan senjata diseludup ke Hamas melalui sempadannya.

Kementerian Luar Mesir berkata tuduhan Netanyahu itu adalah cubaan untuk menghalang usaha perantaraan bagi mencapai gencatan senjata di Gaza dan perjanjian pertukaran tahanan.
 
Pada masa sama, Kementerian Luar menegaskan Mesir berhak sepenuhnya menolak semua tuduhan yang dibuat oleh rejim Zionis berkenaan. 
 
“Tindakan rejim Zionis ini merupakan sebahagian daripada usaha yang tidak masuk akal dan keji untuk meneruskan  pembuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza,” katanya. 
 
Sehingga kini serangan bertalu-talu tanpa henti telah merebak ke beberapa bandar di Tebing Barat dan mengakibatkan lebih banyak kemusnahan dan kehilangan nyawa. 
 
Sementara itu, Kementerian Luar berkata, Malaysia akan tetap teguh dalam komitmennya terhadap perjuangan Palestin dan meneruskan usahanya ke arah penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya. 

“Malaysia juga akan bekerjasama dengan negara-negara yang sehaluan untuk kemasukan Negara Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai anggota penuh,” katanya. – MalaysiaMADANI