Berita

Sembang Santai Vanakam MADANI beri ruang 500 usahawan India kongsi idea

SERAMAI 500 usahawan TEKUN komuniti India dari beberapa negeri berkumpul menyertai sesi dialog bersama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ramanan Ramakrishnan di Hotel Primera, Kuala Lumpur.

Pertemuan Sembang Santai Vanakam MADANI itu menghimpunkan usahawan India yang terdiri dari Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Datuk Ramakrishnan berkata, pertemuan itu memberi ruang kepada komuniti usahawan India untuk mengutarakan cadangan, isu serta sebagai platform menyampaikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi di bawah KUSKOP.

“Program ini merupakan usaha Kerajaan MADANI dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkasakan ekonomi masyarakat India selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.

Turut hadir Pengarah Urusan TEKUN, Datuk Adam Abd Ghani.

Tahun ini, sebanyak RM60 juta telah diperuntukan kepada usahawan masyarakat India melalui TEKUN Nasional.

Peruntukan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,000 usahawan komuniti India. – Malaysia MADANI.