Berita

RM2 juta bantu pengusaha ladang nanas di Miri

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan memperuntukkan bantuan tanaman bernilai RM2.09 juta dan insentif pengukuhan keterjaminan makanan bernilai RM500,000 kepada petani di Sarawak dalam usaha meningkatkan industri nanas di negeri berkenaan.

Penyerahan bantuan dan insentif berkenaan diagihkan Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika dalam lawatan ke Ladang Nanas TG Agro Fruits Sdn. Bhd, di Sungai Tukau, Miri.

Dalam lawatan sama, beliau juga merasmikan Bilik Sejuk di ladang nanas berkenaan.

Katanya ia merupakan salah satu langkah penting dalam meningkatkan infrastruktur penyimpanan bagi industri nanas di Sarawak.

“Program ini adalah sebahagian daripada lokasi yang dilawat sempena jelajah Road To MAHA 2024 @Sarawak dan bertujuan untuk mempromosikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024.

“Selain memperkenalkan kemudahan baru serta insentif kepada peneraju industri nanas di Sarawak,” katanya.

Ladang Nanas TG Agro Fruits yang mempunyai keluasan 70 ekar merupakan salah satu ladang contoh dalam industri nanas di Sarawak menanam varieti nanas Sarawak Gold (SG1) dan MD2.

Ladang berkenaan juga menjadi peneraju dalam memperkenalkan varieti baru nanas kepada pasaran domestik dan antarabangsa.

Dalam lawatan sama Mohamad juga membuat penyerahan forklift bagi tujuan kemudahan kerja-kerja di ladang berkenaan.

Jelajah ini turut disertai Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Sarawak (Industri Makanan), Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat.

Industri nanas dan produk daripada nanas merupakan sumber kekayaan baharu bagi sektor agromakanan.

Permintaan nanas yang tinggi daripada pasaran domestik dan antarabangsa telah mendorong KPKM untuk meningkatkan kawasan penanaman nanas dan turut meletakkan nanas sebagai salah satu fokus utama untuk 2024. – MalaysiaMADANI