Berita

Misi lawatan ke Brunei berjaya, meterai instrumen dua hala – PM

PERDANA Menteri berkata Malaysia dan Brunei berjaya memeterai beberapa instrumen dua hala demi kemajuan kedua-dua pihak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama dua hala berkenaan melibatkan Memorandum Persefahaman mengenai Fasa Pertama Penandaan dan Pengukuran Sempadan Darat, Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Pengangkutan serta Pertukaran Nota mengenai Sempadan Darat.

“Sewaktu Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 (ALC-25) antara Malaysia dan Brunei di Istana Nurul Iman, saya dan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala demi kemajuan bersama.

“Pemeteraian instrumen kerjasama dua hala berkenaan menyerlahkan komitmen Malaysia-Brunei dalam memperkukuhkan hubungan, memacu peningkatan kerjasama demi kepentingan bersama,” katanya.

Anwar pada masa sama menyifatkan lawatan ke Brunei berjaya dan kedua-dua negara memberikan komitmen serius dalam mencari jalan menyelesaikan isu berbangkit.

“Misi lawatan ini saya sifatkan berjaya kerana komitmen serius kedua-dua negara dalam mencari jalan menyelesaikan isu berbangkit dan tertangguh khususnya berkaitan persempadanan,” katanya. – MalaysiaMADANI