Berita

FAMA Kelantan rai 60 kanak-kanak istimewa sempena Kempen Makan Buah-Buahan Tempatan Edisi Merdeka

SEMPENA menyambut bulan kemerdekaan ke-67 tahun ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan menganjurkan Kempen Makan Buah-Buahan Tempatan Edisi Merdeka bersama anak-anak istimewa.

Pengarah FAMA Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim berkata, penganjuran program ini bertujuan untuk mendidik anak-anak tentang kepentingan mengambil buah-buahan tempatan yang kaya dengan nutrisi.

“Penganjuran ini dilihat mampu memupuk tabiat sihat dalam menggalakkan pengambilan buah-buahan tempatan sebagai sebahagian daripada diet harian untuk mengekalkan kesihatan yang baik.

“Ia bukan sahaja memberi pengalaman baru khusus kepada anak-anak istimewa untuk mengenali secara lebih dekat tetapi juga berpeluang mencuba dan menikmati buah-buahan tempatan melalui program interaksi bersama seperti ujirasa buah-buahan, permainan kreatif melalui aktiviti mewarna dan menyusun puzzle buah-buahan,” katanya.

Dalam kempen yang julung kali diadakan, seramai 60 kanak-kanak istimewa dari pusat pendidikan khas, Bizara Educare Centre mengambil peluang yang ditawarkan.

Wan Faizatul menambah kempen makan buah-buahan kali ini di semarakkan lagi dengan aktiviti kibaran jalur gemilang dan persembahan khas edisi merdeka daripada anak – anak Bizara.

Lebih menarik, program tersebut turut diserikan lagi dengan kehadiran tenaga pengajar dan ibubapa Bizara serta kakitangan FAMA Negeri Kelantan yang turut mempunyai anak istimewa.

Kesemua mereka mengambil peluang untuk berinteraksi menerusi sesi rahmah mesra dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman dalam mendidik anak istimewa. – Malaysia MADANI