Berita

Dialog Belanjawan 2025 KPT peluang untuk lontar pandangan : Dr Zambry

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan Sesi Dialog Belanjawan 2025 sebagai usaha mendapatkan input daripada pelbagai kumpulan perkhidmatan di bawah jabatan dan agensinya.

Menterinya, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berkata, platform yang signifikan tersebut memberi peluang kepada warga kementeriannya untuk melontarkan pandangan berkaitan fokus strategik dan bidang tumpuan KPT untuk diteliti dan dipertimbangkan dalam kerangka permohonan Belanjawan 2025 nanti.

“Sesi dialog berkenaan dianjurkan sebagai menyahut seruan Perdana Menteri agar penyediaan Belanjawan 2025 yang berpaksikan kerangka Ekonomi Madani supaya lebih menyeluruh.

“Selain ia merupakan cerminan denyut nadi serta aspirasi pemegang taruh KPT,” katanya.

Turut serta dalam sesi dialog berkenaan adalah Timbalan Menteri KPT, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman.

Tambah beliau semua cadangan yang dikemukakan perlulah bersesuaian dengan program dan projek yang boleh dilaksanakan pada tahun semasa belanjawan tersebut.

“Cadangan-cadangan ini seterusnya akan diperhalusi sebelum diangkat kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk pertimbangan Inisiatif Belanjawan 2025,” katanya.

Turut menyertai sesi dialog berkenaan adalah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Mereka turut diberi peluang dalam majlis tersebut untuk mengemukakan cadangan yang sesuai dijadikan inisiatif berkaitan kebajikan pelajar dalam institusi pendidikan tinggi. – MalaysiaMADANI