PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan untuk membawa pulang sebahagian wanita dan kanak-kanak Palestin ke negara ini bagi mendapat rawatan.
Perkara berkenaan disuarakan ketika menyampaikan pidato kemuncak Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena Bukit Jalil, semalam.
“Sewaktu kita mahu Malaysia menjadi negara yang kuat dalam ekonomi dan politik, saya juga ada perasaan di mana kekejaman berterusan harus dihentikan segera.
“Kerajaan juga sedia membawa pulang sebahagian wanita dan kanak-kanak di Palestin yang cedera atau sakit untuk mendapatkan rawatan di negara ini,” katanya.
Beliau pada masa sama menegaskan pendirian Malaysia sehingga kini masih jelas dan konsisten dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan Gaza untuk bebas merdeka dari cengkaman dan penindasan Zionis.
“Mandat yang diberikan oleh rakyat Malaysia akan digunakan sebaiknya oleh kerajaan untuk melakukan sebaik mungkin usaha membantu meringankan beban rakyat Palestin,” katanya.
Terdahulu, laungan ‘bebaskan Palestin’ dan Free Palestin’ bergema di Bukit Jalil dengan kehadiran 15,000 peserta yang memenuhi Bukit Jalil bagi membuktikan sokongan rakyat Malaysia yang bersatu hati menzahirkan solidariti serta sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Selain memakai pakaian, mafela dan lilit kepala Palestin, para peserta himpunan juga mempamerkan semangat solidariti mereka dengan mengibarkan bendera Palestin dan Jalur Gemilang.
Himpunan itu antara lain bagi menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.
Antara pengisian lain yang diadakan adalah solat maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas dan persembahan anak-anak Palestin, sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Qunut Nazilah. – MalaysiaMADANI