Berita

“Jangan jual beras seludup”

PENIAGA diberi amaran agar tidak menjual beras seludup tanpa lesen di mana-mana platform e-dagang, tegas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Dalam tempoh 1 Oktober hingga 31 Mei lalu, KPKM dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 94 iklan berkaitan penjualan beras secara dalam talian telah diturunkan oleh penyedia platform e-dagang.

“Padi dan beras adalah barang kawalan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Sebarang urusniaga melibatkan barang kawalan di peringkat kilang, borong dan runcit termasuk jualan secara dalam talian sewajarnya memerlukan lesen yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras,” katanya.

Malah, ketiadaan lesen beras adalah kesalahan d bawah Peraturan 3, Peraturan – Peraturan Kawalan Pada dan Beras (Perlesenan Pemborong dan peruncit) 1996.

“Beras yang dijual kepada pengguna dalam talian disyaki adalah beras yang dibawa masuk ke dalam negara tanpa mendapat kelulusan Kerajaan merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 10(1)(a) peraturan sama,” katanya.

Mengulas lanjut KPKM berkata, tindakan penjual barang kawalan beras yang menggunakan platform e-dagang adalah terikat dengan perundangan yang berkuat kuasa iaitu Akta 522 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Sekiranya didapati bersalah, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM25,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Oleh itu, pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) sentiasa memantau aktiviti penjualan beras menggunakan platform dalam talian dengan kerjasama penyedia platform e-dagang berkenaan bagi membendung aktiviti berkenaan terus berleluasa.

KPB pada masa sama turut mengingatkan kepada peniaga bahawa penjualan secara dalam talian barangan kawalan padi dan beras perlu mematuhi mana-mana perundangan yang sedang berkuat kuasa. – MalaysiaMADANI