Berita

Tangguh perolehan digital agar tiada pertindihan inisiatif, pembaziran – PM

PERDANA Menteri menjelaskan penangguhan semua perolehan berkaitan digital dibuat bagi memastikan semua perolehan yang dirancang selaras dengan aspirasi kerajaan dan teknologi digital semasa selain tiada berlaku pertindihan insiatif dan pembaziran sumber.

Justeru, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Kewangan dan Kementerian Digital menangguhkan serta menyelaras semula segala perolehan berkaitan digital yang belum dianugerahkan.

“Kerajaan juga mempunyai tekad untuk meningkatkan keluasan capaian Internet bagi membuka ruang kepada semua lapisan rakyat memanfaatkan teknologi terkini dalam aktiviti harian.

“Untuk permulaan saya telah mengarahkan semua kementerian terkait agar memastikan fasiliti Internet tersedia di semua institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sekolah rendah, menengah dan institusi dibawah seliaan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN).

Pada mesyuarat berkenaan beliau turut bersetuju dengan pelan Pelaksanaan Fasa 2 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) dan Dasar 4IR Negara (D4IRN).

Anwar berkata, pelaksanaan pelan berkenaan penting dalam merealisasikan sasaran sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 25.5 peratus pada tahun ini.

Selain memastikan Malaysia terus dipacu secara digital, berpendapatan tinggi dan menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital. -MalaysiaMADANI