IPOH, 21 JUN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan lebih RM11 juta untuk menyelenggara perumahan bersrata di Perak.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, KPKT menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi kerja-kerja mengecat semula bangunan serta penggantian susur tangan (handrail) di laluan tangga unit rumah khas untuk Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh, Perak.
Selain itu KPKT turut menyalurkan peruntukan RM10.8 juta meliputi peruntukan RM3.3 juta di bawah Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) bagi perumahan berstrata awam, dan RM3.8 juta di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) bagi perumahan swasta.
Selain itu peruntukan sebanyak RM3.7 juta di bawah Lif Madani 2.0 disediakan bagi penggantian baharu / pembaik pulih lif di perumahan berstrata kos rendah/sederhana rendah.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja rasmi ke Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh, Perak pada Sabtu lalu bagi meninjau keadaan rumah pangsa tersebut.
Ini susulan aduan penduduk mengenai keadaan rumah, harta belsama dan persekitaran Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh.
Rumah pangsa ini merupakan perumahan awam iaitu fasa 1 siap dibina pada tahun 1971 dan fasa 2 siap dibina pada 1982 terdiri daripada 12 blok 4 tingkat dengan jumlah 580 unit rumah. – MalaysiaMADANI