Berita

Kerjasama dengan Alphabet & Google lancar transisi teknologi negara, wujud pekerjaan

PERDANA Menteri berharap kerjasama dengan syarikat gergasi teknologi Alphabet & Google membuahkan hasil sekaligus boleh melancarkan perancangan transisi teknologi negara.

Perkara berkenaan disuarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan persidangan secara maya bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Syarikat Gergasi Alphabet & Google, Ruth Porat.

“Perbincangan kami turut menyentuh kepentingan kerjasama dan dukungan teknologi dan kecederdasan buatan (AI) terkait sektor pendidikan, kesihatan dan pertanian.

“Saya tegaskan bahawa ikhtiar ini akhirnya perlu membawa manfaat ekonomi dan sosial yang menyeluruh tanpa meninggalkan kelompok masyarakat terutama dari segi literasi teknologi.

“Semoga usaha ini akan membuahkan hasil terutamanya melancarkan transisi teknologi negara selain mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

Persidangan berkenaan merupakan susulan daripada pertemuannya di Amerika Syarikat (AS) tahun lalu.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Alphabet &Google amat mengalu-alukan kepimpinan dan kepantasan pemudah cara yang diberikan dalam pertemuan sebelum ini.

Ruth memaklumkan kemajuan rangka tindakan bidang-bidang yang boleh diperluas syarikat tersebut di Malaysia berdasarkan penerangan terdahulu kepada beliau berkaitan misi dan tumpuan kerajaan. – MalaysiaMADANI