Berita

Malaysia lulus RM329.5 bilion pelaburan 2023, bukti pelabur yakin

Malaysia telah mencatatkan pelaburan langsung sebanyak RM329.5 bilion tahun lalu, sekali gus menjadi jumlah pelaburan terbesar yang pernah direkodkan dalam sejarah negara, tegas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan berkenaan telah memberi tanda keyakinan pelabur terhadap negara kita.

“Dengan pelaburan yang baharu diluluskan ini, ia akan mula mengalir ke dalam ekonomi negara dalam masa terdekat.

“Pelaburan langsung baharu ini, waima domestik atau antarabangsa, membawa makna yang melangkaui daripada sekadar pekerjaan baharu yang lebih bermakna.

Ia adalah matlamat baharu, pendekatan segar untuk mencapai kemajuan ekonomi, serta peluang baharu bagi lebih ramai rakyat Malaysia melonjakkan tahap pemikiran dan kemahiran agar menjadi berdaya saing dalam ekonomi abad ke-21,” katanya dalam kenyataan.

Anwar pada masa sama memberi jaminan untuk melunaskan janji reformasi yang dilaungkan sebelum ini dalam usaha meningkatkan ekonomi rakyat.

“Selagi hayat dikandung badan, saya berikrar untuk tidak berputus asa berjuang demi rakyat.

“Sebagai Perdana Menteri, saya telah diamanahkan untuk melunaskan janji reformasi yang saya laungkan selama ini.

Tambahnya lagi, Kerajaan perlu melakukan inisiatif untuk merubah kebobrokan dalam institusi negara dan ekonomi serta mengangkat darjat kehidupan rakyat, katanya. – Malaysia MADANI