Berita

Usahawan KUSKOP mampu capai jualan RM50 juta di Gulfood 2024 Dubai

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menjangkakan 21 usahawan bimbingannya yang menyertai Pameran Perdagangan Antarabangsa Gulfood 2024 di Dubai mampu mencapai potensi jualan sekurang-kurangnya RM50 juta.

Menurut Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad, kesemua usahawan yang terdiri 11 usahawan halal dan 10 lagi usahawan dalam ekosistem keusahawan francais dalam pelbagai bidang itu menyertai pameran perdagangan yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, 19 sehingga 23 Februari ini.

“KUSKOP berharap penyertaan pameran perdagangan kali ketiga ini di Dubai World Trade Centre akan membuka peluang perniagaan terutama dalam sektor halal di pasaran global,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau pada masa sama yakin potensi pasaran halal global mampu mencapai AS$9 trilion menjelang 2030.

Suriani menambah sepanjang berlangsung pameran perdagangan itu, dua sesi pertukaran memorandum dijangka akan berlangsung.

Syarikat berkenaan terdiri daripada di antara pembekal makanan sejuk halal, Syarikat Tishas Food Manufacturing Sdn. Bhd dengan Syarikat Happy Market Co. Trading Pte. Ltd Maldives serta Syarikat Pengeluar Pes Cili Hal, Syarikat Syilis Food Manufacturing Sdn Bhd. dengan Syarikat Imperia Asia F&B Trading Co. L.L.C Malaysia yang berpangkalan di Dubai.

Suriani pada masa sama menambah, pihaknya sentiasa komited untuk menyediakan bantuan sama ada dalam bentuk bantuan kewangan atau bimbingan latihan untuk usahawan tempatan kembangkan pasaran produk mereka di peringkat global.

Selain memanfaatkan peluang untuk membuka akses kepada pasaran tempatan.

Penyertaan di Gulfood 2024 merupakan hasil kerjasama antara KUSKOP, MATRADE, SME Bank, SME Corp. Malaysia dan PERNAS. – Malaysia MADANI