Berita

Pengamal perubatan tradisional dikecualikan cukai perkhidmatan mulai 1 Mac ini

Pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang berdaftar di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengecualian berkenaan yang akan berkuat kuasa 1 Mac ini dibuat agar perkhidmatan disediakan oleh pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut atau tempat seumpamanya yang dikendalikan pengamal perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) berdaftar dengan Akta 755 tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan bercukai.

Katanya, maklum balas ini juga telah mengambil kira perbincangan daripada sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri PT&K.

“Kesemua pengamal PT&K yang telah berdaftar dengan akta tersebut tidak perlu berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan seterusnya tidak mengenakan cukai bagi perkhidmatan seperti perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, homeopati, kiropraktik, osteopati dan amalan pengubatan Islam.

Amir Hamzah pada masa sama menegaskan, pengecualian berkenaan ini adalah salah satu usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat sebagaimana yang ditekankan dalam konsep Malaysia Madani.

“MOF juga setuju supaya keputusan tersebut terpakai ke atas perkhidmatan yang disediakan oleh pusat Kesihatan atau kesejahteraan rumah urut, atau tempat yang seumpamanya yang dikendalikan oleh pengamal PT&K yang berdaftar,” katanya dalam kenyataan, 19 Februari.

Tegas beliau, keputusan yang dipersetujui oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan langkah untuk meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan rakyat. – Malaysia MADANI