Berita

Kerajaan optimis ekonomi berkembang 4-5 peratus, defisit mengecil

Persekitaran luaran yang mencabar tidak menghalang ekonomi negara mencatat pertumbuhan yang positif dan terbukti apabila mencatat pertumbuhan sebanyak 3 peratus pada suku keempat 2023.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, pertumbuhan berkenaan disokong oleh peningkatan asas ekonomi antaranya disebabkan pasaran buruh yang mencatatkan momentum pertumbuhan positif dengan kadar pengangguran berkurangan.

Ia juga turut berkaitan dengan dengan inflasi yang sederhana susulan tindakan Kerajaan menyasarkan semula subsidi.

“Susulan pemetaan strategi pertumbuhan ekonomi baharu, Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaannya tahun ini untuk merangsang pertumbuhan dan merealisasikan penambahan dan keadilan sosial.

“Kerajaan MADANI juga yakin mampu mencapai pertumbuhan yang lebih kukuh antaranya empat hingga lima peratus tahun ini berdasarkan pembaharuan yang digariskan,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan juga bertekad untuk kecilkan defisit fiskal kepada 4.3 peratus tahun ini sejajar dengan komitmen Akta Kewangan dan tanggungan Fiskal 2023.

Malah pada Disember tahun lalu, kadar inflasi mereda kepada 1.5 peratus dan kadar itu dilihat lebih rendah berbanding negara-negara maju seperti Korea, Amerika Syarikat (AS), Filipina dan Indonesia.

Selain itu, pelaburan langsung asing bersih (FDI) turut mempengaruhi keadaan ekonomi apabila mencatatkan sebanyak RM17.1 bilion pada suku keempat tahun lalu.

“Pertumbuhan permintaan domestik yang berterusan menggambarkan agenda pembaharuan mula membuahkan hasil yang positif selain daripada penstrukturan semula fiskal secara berterusan yang boleh memberi manfaat kepada negara dan rakyat,” katanya. – Malaysia MADANI