Berita

Peruntukan RM293.7 juta untuk selenggara infrastruktur di Johor

Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan sebanyak RM293.7 juta bagi negeri Johor tahun ini khususnya untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan, cerun dan bangunan persekutuan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, 11 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 telah diluluskan bagi Johor membabitkan kos sebanyak RM 2.14 bilion.

“Kelulusan berkenaan termasuk infrastruktur jalan persekutuan dan projek pembangunan di bawah KKR yang memberi manfaat kepada rakyat menjadi antara inti pati utama perbincangan,” katanya, dalam kenyataan.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di ibu pejabat KKR di Kuala Lumpur, 19 Februari lalu.

Beliau melahirkan rasa kagum dengan pemimpin muda yang komited meluangkan masa demi kepentingan rakyat.

“Figura yang cukup dihormati ini antara pemimpin yang rajin ‘terjah dan turun padang’ demi memastikan khidmat kepada rakyat segera dilaksanakan,” katanya.

Malah, dalam pertemuan berkenaan, beliau turut menyatakan hasrat kepada Kerajaan Negeri Johor untuk memperluas pelaksanaan program MyJalan ke negeri Darul Ta’zim ini.

“Ibarat langkah kanan, hajat kami disambut baik Menteri Besar Johor.

“Jadi, untuk orang-orang Johor, nantikan MyJalan, ke tempat anda,”katanya lagi. – Malaysia MADANI