Berita

KPKM giat lahirkan usahawan, sedia Geran Agropreneur Muda sehingga RM20,000

Golongan muda yang berminat dalam usahawan agro kini boleh menarik nafas lega selepas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menawarkan bantuan termasuk Geran Agropreneur Muda dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan muda dalam bidang berkenaan.

Sebanyak lima jenis geran ditawarkan kepada usahawan muda dalam bentuk wang tunai sehingga RM20,000 dan ada juga berbentuk bantuan alatan seperti mesin yang gunakan.

Tawaran ini juga terbuka luas kepada mereka yang berminat dan telah memasuki bidang pertanian dan mendapat pendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.

Selain mempunyai tanah atau premis bagi meneruskan pelaksanaan projek.

Menariknya, program Agropreneur Muda yang terbuka sepanjang tahun ini diwujudkan khusus kepada golongan muda berumur di antara 18 hingga 40 tahun bertujuan untuk membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan agroteknologi.

Ia berasaskan semua aktiviti di sepanjang rantaian nilai sektor pertanian seperti pengeluaran tanaman, ternakan dan perikanan serta industri makanan dan agro teknologi.

“Program ini bermatlamat untuk mengubah persepsi golongan muda terhadap sektor pertanian sebagai industri yang berdaya maju.

“Selain meningkatkan pendapatan agropreneur muda melalui peningkatan produktiviti pengeluaran, kualiti produk dan penggunaan teknologi dan inovasi serta penyediaan pasaran yang kompetitif,” kenyataan KPKM dipetik, 18 Februari lalu.

Lebih membanggakan kesemua usahawan muda ini akan dibimbing oleh lebih 600 agensi pembimbing di bawah kementerian KPKM di seluruh negara.

Bagi mereka yang berminat segera melayari laman rasmi KPKM di https://egam.kpkm.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat tambahan dan muat turun segala borang permohonan. – Malaysia MADANI