Berita

MOSTI sasar guna teknologi tempatan di peringkat PBT

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan 20 teknologi tempatan yang akan dikomersialkan dan digunapakai di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjelang tahun 2025, sekali gus menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik.

Sasaran berkenaan dibuat selepas berlangsung sesi perkongsian teknologi kepada delegasi pihak berkuasa tempatan (PBT) Perak yang diketuai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching.

Dalam sesi tersebut, beberapa syarikat teknologi tempatan di bawah ekosistem MOSTI telah dipilih untuk berkongsi mengenai teknologi dan inovasi mereka bagi menyelesaikan permasalahan setempat yang dihadapi di peringkat negeri.

“Ia termasuklah isu pengurusan sisa pepejal dan perkhidmatan PBT yang sering berlaku di beberapa tempat.

“Usaha ini dilihat mampu membuka peluang kepada syarikat teknologi dan inovasi tempatan bagi mempromosikan dan mengkomersialkan perkhidmatan mereka di peringkat agensi Kerajaan,” katanya.

Tambahnya, inisiatif tersebut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam menaik taraf tahap penyampaian perkhidmatan awam bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

Atas dasar itu, MOSTI yakin usaha berterusan perlu dilakukan bagi meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi (technology adoption) di peringkat PBT agar kualiti penyampaian sentiasa di tahap terbaik dari semasa ke semasa.

Katanya, perkongsian berkenaan merupakan langkah permulaan dalam usaha menjalin kerjasama yang lebih erat dengan pihak PBT.

“MOSTI seterusnya akan menjemput PBT dari negeri-negeri lain dari seluruh negara untuk turut terlibat alam sesi perkongsian teknologi ini,” ujarnya.

Terlebih dahulu satu kunjungan homat kepada Menteri telah diadakan di MOSTI yang turut dihadiri Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Datuk Tr. Dr. Mohd Nor Azman Hassan. – Malaysia MADANI