Berita, PROGRAM SETAHUN BERSAMA KERAJAAN MADANI

Majlis Perasmian-Penutup Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI

Majlis Perasmian Penutupan telah berlangsung sebentar tadi, menandakan berakhirnya Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang berlangsung dari 8 hingga 10 Disember di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil. Program ini bertujuan untuk mempromosikan dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan, meningkatkan kesedaran umum terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan, serta membina hubungan baik antara kerajaan dan rakyat.

Selama tiga hari program ini berlangsung, lebih dari 230,000 pengunjung dari seluruh negara telah hadir.

Sesi Dialog juga diadakan selama satu jam dalam majlis yang sama, memberikan peluang kepada pengunjung untuk mengajukan soalan dan pendapat mereka terus kepada YAB Perdana Menteri dan timbalan-timbalannya. Beberapa pertanyaan menarik dilontarkan oleh pengunjung, seperti bagaimana kerajaan dapat menangani salah faham tentang konsep MADANI di kalangan mereka yang bukan beragama Islam, bagaimana kerajaan dapat memastikan sistem pendidikan di Malaysia sesuai dengan kehendak ekonomi semasa, serta bagaimana untuk memastikan jurang perbezaan antara kewujudan teknologi AI dan lambakan graduan yang tidak mendapat peluang pekerjaan.

YAB Perdana Menteri dan timbalan-timbalannya telah memberikan jawapan yang memuaskan dan menerima cadangan dari rakyat dengan terbuka, bertujuan memastikan pemahaman yang selaras di kalangan rakyat Malaysia. Kerajaan Perpaduan kini memberikan tumpuan kepada inisiatif dan kerjasama untuk memartabatkan hak rakyat dan mengangkat imej negara.

Kerajaan Perpaduan tidak menolak sebarang ruang untuk memperbaiki keadaan semasa agar generasi muda memperolehi manfaat di masa hadapan.

Majlis Perasmian Penutupan Setahun Bersama Kerajaan MADANI diakhiri dengan sesi memotong pulut kuning sebagai simbolik sambutan setahun usia Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.