Berita

PM Anwar umum peruntukan tambahan RM50 juta untuk perluas inisiatif Rahmah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM50 juta kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memperluaskan inisiatif ‘Rahmah’ ke seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Perdana Menteri menjelaskan, beliau mahu inisiatif itu diperluaskan berdasarkan kejayaan awal program itu yang menunjukkan hasil memberangsangkan.

Beliau menjelaskan, program Rahmah yang menyentuh secara langsung golongan berpendapatan rendah, dilihat sebagai antara elemen penting dan utama dalam usaha kerajaan menoktahkan miskin tegar tahun ini.

“Inisiatif Rahmah ini berjaya mengurangkan harga 10-15 peratus tetapi kalau macam Menu Rahmah itu dalam sejam atau dua jam habis.

“Sambutan terhadap inisiatif Rahmah ini sangat baik terutama di luar bandar dan ada juga di bandar yang melibatkan golongan miskin bandar.

“Tapi sekarang ini satu kawasan Parlimen satu, jadi saya minta diperluaskan, walaupun small scale tetapi kita target yang betul-betul msikin, dan kos RM50 juta khusus untuk Jualan RAHMAH,” katanya selepas menghadiri Majlis Penutup Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2023 pada Ahad.

Di majlis itu juga perdana menteri turut menyempurnakan acara “flag off” lori Jualan RAHMAH Bergerak Peringkat Kebangsaan.

Sebanyak 16 lori telah dihimpunkan dari seluruh negara untuk turut serta di dalam acara “flag off” Jualan RAHMAH Bergerak #KedaiCariRakyat.