Berita

KPM teliti cadangan subjek Bahasa Tamil di sekolah menengah

KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti bagaimana syarat semasa untuk bahasa Tamil diajar sebagai bahasa tambahan di sekolah menengah boleh dilonggarkan, sebelum ia dilaksanakan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan diteliti semula oleh jawatankuasa peringkat dasar kementerian.

“Saranan Perdana Menteri mengenai subjek Bahasa Tamil di sekolah menengah itu adalah isu baharu dan perlu diperincikan jawatankuasa di peringkat dasar,” katanya selepas merasmikan Himpunan Pewaris Genarasi Madani di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Nik Nasaruddin Mohd Zawawi, Pengerusi Pewaris negeri, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad dan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri (JPNT), Abdul Muie Ngah.

Anwar sebelum ini dilaporkan berjanji akan berbincang dengan Menteri Pendidikan bagaimana syarat semasa untuk Bahasa Tamil diajar sebagai bahasa tambahan di sekolah menengah boleh dilonggarkan.

Ketika berucap melancarkan Persidangan Penyelidikan Tamil Antarabangsa Ke-11 di University Malaya (UM), Anwar berkata syarat minimum semasa ialah perlu ada 15 pelajar untuk sebuah kelas Bahasa Tamil diadakan.

“Saya akan beritahu dan mencadangkan Kementerian Pendidikan untuk melakukan pelarasan diperlukan walaupun jika kita tetapkan syarat (angka) kepada 10, kita harus membenarkan sembilan atau 11 pelajar juga.

(Ini juga) untuk memberi peluang kepada pelajar untuk menguasai bahasa tambahan.

“Dalam sekolah-sekolah di seluruh dunia, seperti di Amerika Syarikat dan China, orang ramai menggalakkan pelajar untuk menguasai dua atau lebih bahasa yang bermakna dalam konteks ini pelajar India, menguasai Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Tamil. Saya fikir ia akan memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk mempunyai pelajar yang menguasai lebih banyak bahasa,” katanya.