Berita

Kerajaan ambil langkah segera tambah baik 436 fasiliti kesihatan

PETALING JAYA: Kerajaan sedang mengambil langkah segera bagi menambah baik 436 fasiliti dan klinik kesihatan bawah Kementerian Kesihatan dengan sasaran semua terlibat akan memasuki peringkat pelaksanaan menjelang akhir tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu adalah dua tumpuan Majlis Tindakan Malaysia Madani iaitu usaha menaik taraf fasiliti daif di bawah Kementerian Kesihatan dan memperluas pelaksanaan Gerai Madani.

“Kaedah penambah baikan yang diguna pakai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilaksanakan untuk menaik taraf 20 medan selera di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) terpilih.

“Tindakan penambahbaikan akan mengubah penampilan dan kemudahan agar lebih bersih dan indah demi keselesaan rakyat,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Pada masa sama, Anwar memaklumkan bahawa Majlis Tindakan Malaysia Madani bersetuju agar Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (Star) melaksana dan memperluas Projek Bitara Madani dengan segera termasuk memberi berfokus kepada penyelesaian terhadap kesulitan dan masalah dihadapi rakyat.

Beliau menjelaskan, kerajaan komited meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam di dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kemudahan menjalankan perniagaan.

Katanya, projek-projek Bitara Madani sentiasa mendukung rukun Malaysia Madani dan menggunakan pendekatan ‘The Whole of Government’ yangh mana ketua projek adalah terdiri daripada kalangan pegawai kanan perkhidmatan awam di kementerian atau jabatan yang berbeza dengan kementerian/jabatan yang bertanggungjawab terhadap projek dikenal pasti.

“Ini bagi memastikan setiap pelaksanaan projek-projek Bitara Madani dinilai daripada perspektif berbeza dan lebih menyeluruh.

“Dengan tumpuan kepada kos yang rendah, pelaksanaan penyelesaian segera dan penggunaan sumber sedia ada, kesemua projek di bawah Bitara Madani selari dengan anjakan reformasi penyampaian perkhidmatan awam agar lebih cekap, berintegriti dan berkualiti dalam memberi khidmat kepada masyarakat serta berupaya memberi kesan secara langsung kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN