Berita

Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI beri peluang rakyat dekati pemimpin

PUTRAJAYA – Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri 2023 dilihat menjadi platform terbaik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anggota Kabinet menyantuni rakyat memandangkan sebelum ini tidak berpeluang meraikan Aidilfitri bersama ekoran sukar berkunjung ke Seri Perdana.

Jabatan Perdana Menteri berkata, selaras konsep Malaysia Madani, penganjuran kali ini juga adalah kerjasama strategik kerajaan negeri selain kementerian peneraju yang turut dilantik bagi membantu pelaksanaan majlis.

“Penganjuran oleh kerajaan Persekutuan hanya melibatkan tiga buah negeri sahaja iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor ia dianjurkan oleh kerajaan negeri masing-masing.

“Penganjuran di tiga negeri anjuran kerajaan Persekutuan mensasarkan jumlah keseluruhan pengunjung sekitar 55,000 orang pengunjung dengan hanya di Kedah berstatus nasional iaitu 25,000 orang pengunjung manakala di Kelantan dan Terengganu masing-masing mensasarkan 15,000 orang pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, penganjuran rumah terbuka di Seri Perdana sebelum ini juga mencecah sehingga 100,000 orang pengunjung.

“Secara keseluruhan, penganjuran kali ini membolehkan perbelanjaan dilakukan secara berkesan melalui penganjuran secara bersasar, perkongsian sumber, tenaga kerja dan kemahiran melalui kerjasama strategik kerajaan Persekutuan dan Negeri.

“Kaedah penganjuran bersama ini juga diyakini dapat mengukuhkan hubungan antara kedua-dua kerajaan,” katanya.

Susulan itu, orang ramai dijemput hadir ke Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri yang bermula di Negeri Kedah iaitu bertempat di Hotel Raia esok bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang. – KOSMO! ONLINE