Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan supaya konsep Malaysia Madani dijadikan sebagai jalan ke depan untuk Malaysia serta masyarakatnya yang terdiri pelbagai kaum dan budaya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan pasti akan berusaha supaya nilai yang diterapkan melalui konsep Malaysia Madani itu dapat digerakkan serta dilaksana sebaiknya.
Beliau melalui muat naik sama di Facebook dan Twitter, turut berkongsi mengenai rasional logo Malaysia Madani dengan reka bentuk seakan tapak tangan dan diasaskan empat warna Jalur Gemilang itu.
Lima jari dengan jalur merah putih yang ditonjolkan dalam logo itu sebagai simbolisme kepada Rukun Negara selaku asas ideologi Malaysia, manakala bulatan ‘tapak tangan’ berwarna biru menandakan kebulatan, muafakat dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Selain itu, bulan sabit adalah simbol Islam sebagai agama Persekutuan turut dijadikan salah satu elemen logo itu, selain bintang berbucu 14 yang melambangkan perpaduan dalam kalangan 13 negeri dan Wilayah Persekutuan.
Empat warna digunakan untuk logo berkenaan iaitu biru, melambangkan kesatuan nasional, keterangkuman dan persaudaraan; merah (keberanian, jati diri dan keazaman); kuning (nilai tradisi, kebudayaan dan kearifan tempatan; manakala putih (keluhuran budi, kesucian hati dan hasrat murni).
Melalui maklumat tertera, Malaysia Madani digambarkan sebagai panduan dan ikhtiar secara bersepadu dan holistik sebagai dasar pentadbiran yang lebih manusiawi.
Malaysia Madani bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban.
Kerangka Malaysia menjadi pemacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dan kearifan tempatan.
Konsep Malaysia Madani diperkenalkan Perdana Menteri sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.
Ia berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.