Berita

Keselamatan maklumat, data pergerakan rakyat keutamaan negara -PM

Malaysia sentiasa mengambil langkah siap siaga dan meneliti perkembangan ancaman siber demi menjaga kedaulatan sistem pendigitalan negara.

Untuk itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bil. 3/2026 bagi meneliti perkembangan ancaman siber serta memperkukuh kesiapsiagaan dan kedaulatan digital negara.

Beliau berkata, perbincangan tersebut merangkumi pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID, persediaan menghadapi ancaman komputer kuantum melalui kriptografi pasca-kuantum (PQC), ancaman baharu berasaskan kecerdasan buatan autonomi serta perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).

“Mesyuarat turut meneliti risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang kerajaan Israel,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Sehubungan itu, menurut beliau, penggunaan aplikasi tempatan iaitu TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) adalah digalakkan sebagai alternatif.

Tegas beliau, Malaysia sama sekali tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat. 

Justeru itu kata beliau, kerajaan memperkukuh ekosistem identiti bersepadu dengan MyKad sebagai kredensial fizikal dan MyDigital ID bagi urusan digital, disokong perlindungan siber yang lebih ampuh termasuk persediaan menghadapi ancaman masa hadapan melalui PQC.

“Usaha ini penting bagi memastikan pendigitalan perkhidmatan awam terus memberi manfaat kepada rakyat, tanpa mengabaikan keselamatan, kepercayaan dan kedaulatan negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI