Kerajaan MADANI memberi penekanan agar projek penyediaan tempat penginapan kumpulan mahasiswa perlu disiapkan dengan kadar segera bagi beberapa universiti terpilih.
Bagi tujuan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan pelancaran Projek Residensi Siswa Universiti Malaya, hasil kerjasama strategik universiti dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Perdana Menteri berkata, usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan itu bertujuan menangani isu penginapan mahasiswa yang sekian lama menjadi cabaran.
“Saya telah memberikan jaminan bahawa projek ini merupakan keutamaan Kerajaan.
“Semua jentera berkaitan, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, perlu menyelaras usaha bagi memastikan projek ini disiapkan lebih awal daripada jadual,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Beliau berkata, menerusi Belanjawan MADANI 2027, fasa pertama projek itu bakal menyediakan kediaman untuk 10,000 mahasiswa, manakala Projek Vista Kampus akan dilaksanakan di enam universiti terpilih, termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Tegas beliau, pelaksanaan projek itu mencerminkan komitmen untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta memastikan kebajikan mahasiswa terus menjadi sebahagian daripada keutamaan pembangunan negara. -MalaysiaMADANI
