Berita

Malaysia-UK perkukuh jalinan kerjasama hubungan ekonomi dua hala

Beberapa perkara penting membabitkan hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan United Kingdom (UK) dibincang demi manfaat bersama.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, perbincangan itu melibatkan Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Antarabangsa) MITI, Datuk Mastura Ahmad Mustafa apabila menerima kunjungan hormat daripada Matthew Davies, Pengarah Asia-Pacific, Analysis and Accountable Trade (APAAT) UK.

Katanya, sesi tersebut membincangkan perkembangan penting dalam hubungan ekonomi dua hala Malaysia–UUK, termasuk perkembangan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Selain itu, inisiatif di bawah Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan Bersama Malaysia-UK serta Perjanjian Perdagangan Digital Malaysia-UK turut dibincangkan,” kata MITI menerusi laman media sosialnya.

Menurutnya, Malaysia dan UK akan terus memanfaatkan hubungan ekonomi yang kukuh bagi memperluas peluang perdagangan dan pelaburan.

Tambahnya, kedua-dua negara juga bersetuju mempertingkat kerjasama dalam bidang-bidang strategik yang saling memberi manfaat bersama.

Katanya lagi, pada tahun lalu, UK merupakan rakan dagang ke-25 terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM15.78 bilion. 

Selain itu menurutnya, eksport Malaysia ke UK turut meningkat kepada RM8.82 bilion, didorong terutamanya oleh peningkatan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E). -MalaysiaMADANI