Berita

Kerjasama SpaceX, tingkat mutu capaian internet kawasan pedalaman

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menerima kunjungan hormat daripada delegasi SpaceX di Putrajaya bagi memperkukuh kerjasama dalam perkhidmatan internet satelit. 

Beliau berkata, menerusi perkhidmatan internet satelit Starlink di bawah kendalian SpaceX, perbincangan tertumpu kepada usaha kerjasama meluas capaian internet, khususnya kepada penduduk di kawasan pedalaman.

“Saya menghargai peranan Starlink dalam menyokong usaha Kerajaan meluaskan liputan dan meningkatkan mutu capaian internet menerusi JENDELA.

“Ini termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak serta penempatan Orang Asli di Semenanjung,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri turut menyambut baik pengoperasian infrastruktur Point of Presence (PoP) Starlink di Cyberjaya bagi melancarkan trafik data tempatan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna.

Dalam pertemuan tersebut, menurut beliau, SpaceX telah menyumbangkan 50 unit kit Starlink untuk menyokong kesiapsiagaan bencana negara.

Tegas beliau, kemajuan teknologi mesti membawa manfaat yang nyata kepada rakyat. 

Seiring peluasan capaian internet, kata beliau lagi, keselamatan siber, perlindungan data serta penggunaan internet yang selamat mesti terus diberi keutamaan. 

“Kita mahu memastikan masyarakat di pedalaman turut menikmati capaian internet yang berkualiti dan selamat agar mereka tidak tercicir daripada arus kemajuan negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI