Berita

Kadar gaji minimum baharu, PMKS dikecualikan pada masa ini

Khabar gembira buat pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) apabila Kabinet bersetuju untuk mengecualikan daripada pelaksanaan kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong selepas membangkitkan isu gaji minimum dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan lain untuk membantu meningkatkan gaji pekerja dalam sektor PMKS.

Jelas beliau, ia termasuk sokongan subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif agar kenaikan bergerak seiring peningkatan produktiviti.

“Saya telah membangkitkan isu gaji minimum dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini (Rabu). 

“Kabinet bersetuju bahawa gaji rakyat perlu terus ditingkatkan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam masa sama katanya, kerajaan juga perlu melindungi perniagaan tempatan khususnya PMKS yang sedang berdepan tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa.

Tegas beliau, matlamat kerajaan adalah jelas iaitu kebajikan pekerja terbela dengan gaji yang lebih wajar, sementara PMKS kekal berdaya saing untuk terus berkembang dan menjana peluang pekerjaan. -MalaysiaMADANI