Berita

PIF buka ruang perkukuh kerjasama ekonomi Malaysia-Arab Saudi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Gabenor Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi, Yasir Othman Al-Rumayyan bersama delegasi.

Perdana Menteri berkata, PIF merupakan antara dana kekayaan berdaulat terbesar di dunia, dengan aset di bawah pengurusan melebihi US$900 bilion. 

Beliau berkata, sebagai dana pelaburan pemacu Wawasan 2030 Arab Saudi, PIF turut membuka ruang kerjasama yang luas dengan rakan antarabangsa. 

“Kami bertukar pandangan tentang peluang memperkukuh kerjasama ekonomi Malaysia-Arab Saudi, khususnya dalam sektor pembinaan, infrastruktur, pengurusan kemudahan, tenaga dan ekonomi halal,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri berkata, syarikat milik penuh PIF, RUA AlHaram AlMakki sedang meneroka kerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bagi pembangunan berorientasikan transit di kawasan Jabal Al Kaabah, Makkah. 

Jelas beliau, RUA adalah pemaju induk bagi pembangunan King Salman Gate di kota suci Makkah. 

Menurut beliau, potensi kerjasama itu adalah manifestasi keyakinan pelabur terhadap keupayaan Malaysia, di samping membuka peluang baharu kepada perniagaan dan tenaga mahir.

“Saya berharap lebih banyak syarikat Malaysia dapat menembusi pasaran serta memperluas kerjasama di Arab Saudi dan mengambil bahagian dalam projek yang membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI