Berita

408 Pegawai Penguasa Sempadan AKPS perkukuh jaga kedaulatan negara

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) terus giat memperkukuh pintu masuk dan persempadanan negara menerusi penambahan pegawai penguasa terlatih.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, seramai 408 Pegawai Penguasa Sempadan kini bersedia memikul amanah menjaga kedaulatan negara selepas berjaya menamatkan Kursus Asas Pegawai AKPS Siri 1/2026.

Majlis tamat kursus itu telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat, Johor.

“Kumpulan ini mencatat sejarah sebagai lantikan pertama di bawah skim perkhidmatan baharu AKPS, sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh kawalan dan perlindungan sempadan negara,” kata KDN menerusi laman media sosialnya.

Menurutnya, latihan selama tiga bulan itu juga merupakan permulaan kepada cabaran sebenar yang bakal ditempuhi ketika bertugas di lapangan.

“Jadikan ilmu, disiplin dan ketahanan yang dibina sepanjang latihan sebagai bekalan dalam melaksanakan amanah kepada rakyat dan negara,” ujarnya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. -MalaysiaMADANI