Berita

Istiadat Pengebumian Pembesar Negara buat Tun Dr Siti Hasmah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili pihak Kerajaan MADANI dan seluruh rakyat Malaysia mengucapkan takziah atas pemergian Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Beliau menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Almarhumah yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pagi ini. 

“Negara tetap mengenang sosok keibuan dan menghargai jasa Almarhumah,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

 Perdana Menteri juga telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk membantu pengurusan dan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Almarhumah.

 “Ingatan dan doa saya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga dalam menghadapi kehilangan ini. 

“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Almarhumah, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI