Berita

MITI, HDC bincang perkukuh kedudukan Malaysia sebagai Hab Halal Global

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) Bilangan 1 Tahun 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, MPIH merupakan platform penyelarasan strategik kerajaan bagi memperkukuh pembangunan dan ekosistem industri halal negara, melibatkan kerjasama antara kementerian, agensi kerajaan, Kerajaan Negeri dan pemain industri.

Katanya, mesyuarat yang dilaksanakan secara bersama oleh MITI dan Halal Development Corporation (HDC) itu membincangkan beberapa tumpuan strategik bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai Hab Halal Global.

“Antara tumpuan utama adalah penyusunan semula tadbir urus industri halal, pemantapan pelaburan di 14 taman industri berstatus HALMAS yang kini menempatkan 389 pelabur aktif serta peluasan pasaran antarabangsa.

“Selain itu, perbincangan turut melibatkan usaha pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan melalui bimbingan bersasar dan pemudahcaraan pensijilan halal,” kata MITI menerusi laman media sosialnya.

Menurutnya, platform Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026 yang akan berlangsung pada 23 hingga 26 September 2026 akan dimanfaatkan bagi memperkukuh akses pasaran antarabangsa serta mengetengahkan cadangan penubuhan ASEAN Halal Council (AHC) bagi memperkukuh kerjasama halal di peringkat serantau.

Dalam memperkukuh ekosistem pelaburan halal, katanya, kerjasama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan HDC akan terus diperkasa bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta meningkatkan penyertaan industri tempatan dalam rantaian nilai halal global.

Tambahnya, MITI akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama kementerian, agensi dan pemain industri bagi memastikan industri halal negara terus berkembang secara mampan, berintegriti dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI.

Turut terlibat dalam mesyuarat itu adalah Ketua Setiausaha MITI, Datuk Hairil Yahri Yaacob dan Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI, Datuk Hanafi Sakri. -MalaysiaMADANI