Kejayaan sistem kesihatan negara bukan sahaja bergantung pada keupayaan merawat pesakit, malah keberkesanan usaha melindungi masyarakat daripada ancaman penyakit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan kesihatan awam perlu terus diperkasakan sebagai tonggak strategik sistem kesihatan negara, seiring dengan perkhidmatan klinikal bagi memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera.
Untuk itu beliau berkata, menjadi satu kepentingan memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman kesihatan masa hadapan, termasuk kemungkinan kemunculan ancaman penyakit baharu seperti Penyakit X.
“Dalam mendepani cabaran yang semakin kompleks, warga kesihatan awam perlu melangkaui pendekatan konvensional dengan memanfaatkan sains data, analitik data raya, pembelajaran mesin (machine learning) dan kecerdasan buatan (AI).
“Ini bagi meningkatkan keupayaan pengesanan awal, penilaian risiko serta perancangan intervensi kesihatan yang lebih tepat dan berkesan,” kata beliau menerusi laman media sosial KKM.
Selaras dengan aspirasi tersebut, beliau berkata, transformasi kesihatan awam perlu bergerak daripada pendekatan berasaskan penyakit kepada pendekatan berasaskan risiko, di samping memperkukuh perkhidmatan berteraskan komuniti dan tidak hanya tertumpu pada hospital (hospital-centric).
Kata beliau, Pegawai Kesihatan Daerah memainkan peranan penting dalam menterjemahkan dasar dan strategi nasional kepada tindakan di lapangan, termasuk melalui pengukuhan kesiapsiagaan kesihatan di peringkat daerah, pemantauan penyakit, advokasi pemakanan sihat serta usaha meningkatkan kesedaran dan kesejahteraan kesihatan mental dalam komuniti. -MalaysiaMADANI
