Uncategorized

‘Lawatan ke India lakar kejayaan penting buat Malaysia’ – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan rasmi ke India sebagai kejayaan penting yang memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa serta membuka ruang lebih luas untuk kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Tegas beliau pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18, Malaysia tampil membawa suara negara-negara Selatan Global yang menuntut tatanan dunia lebih adil dan saksama. 

“Kita juga terus tegas mempertahankan nasib rakyat Palestin serta menolak penjajahan, keganasan dan sikap membisu terhadap kezaliman,” katanya.

Mengulas lanjut Anwar berkata, pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dunia seperti Presiden Russia, Vladimir Putin, Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian, Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali mencerminkan kedudukan Malaysia yang semakin dihormati.

“Tatkala kita mampu berbicara dan bekerjasama dengan pelbagai kuasa berdasarkan prinsip, kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Keyakinan terhadap Malaysia turut diterjemahkan melalui minat syarikat-syarikat utama India untuk menjalin kerjasama dalam sektor automotif, kejuruteraan, kecerdasan buatan dan pembuatan termaju.

“Matlamatnya jelas, iaitu membawa masuk pelaburan, mengembangkan bakat tempatan serta mencipta lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat,” katanya.

Di Kerala, Anwar berkata, hubungan sejarah dan peradaban yang terjalin sejak sekian lama digerakkan ke arah kerjasama ekonomi yang lebih kukuh.

Malah, pertemuan bersama pimpinan negeri serta pemain industri dari India, Malaysia dan Negara Teluk membuka peluang dalam ekonomi digital, kesihatan, pendidikan, pelancongan, logistik dan industri halal.

“Kunjungan ke Markazu Saquafathi Sunniyya pula memperlihatkan peranan Malaysia dalam wacana ilmu dan pemikiran Islam. Kami bicarakan keperluan membentuk pendekatan kecerdasan buatan berteraskan nilai agar teknologi dimanfaatkan tanpa mengorbankan akhlak, kebebasan akal dan kemanusiaan,” ujarnya.

Anwar pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Kerajaan India atas sambutan mesra dan layanan baik sepanjang keberadaan di New Delhi dan Kerala.  – MalaysiaMADANI