Berita

Teroka ekonomi digital, kerajaan beri dukungan penuh kepada usahawan, pencipta kandungan

Kerajaan MADANI memberi dukungan terhadap segala ikhtiar memperluas penyertaan rakyat dalam ekonomi digital yang telah membuka ruang baharu untuk menjana pendapatan, mengembangkan perniagaan dan mengubah kehidupan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menjadi satu kebanggaan melihat kejayaan para usahawan dan pencipta kandungan terutama anak-anak muda yang berani meneroka peluang baharu melalui kemajuan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI). 

Beliau berkata, potensi golongan tersebut adalah amat besar sekiranya diberikan ruang, kemahiran, latihan dan dukungan yang diperlukan.

“Justeru, Kerajaan MADANI akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin dengan memudahkan urusan serta memastikan kemudahan dan bantuan yang tersedia benar-benar sampai kepada anak muda, peniaga kecil dan usahawan baharu yang berdepan kekangan modal, pengalaman serta akses,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Dalam sesi soal jawab, Perdana Menteri berkata, beliau mendengar sendiri keperluan dan cabaran yang dihadapi, termasuk soal pembiayaan serta persaingan daripada platform dan produk luar negara yang menjejaskan daya saing peniaga dan pengeluar tempatan. 

Jelas beliau, segala kebimbangan tersebut akan diteliti dan cadangan yang munasabah akan dipertimbangkan, termasuk menerusi Belanjawan 2027. 

Pada masa sama, kata beliau, peraturan e-dagang akan diperkukuh bagi melindungi pengguna, menjamin persaingan yang adil dan menjaga kepentingan peniaga tempatan.

“Saya turut umumkan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian pada 9 September 2026 sempena sambutan Hari Malaysia. 

“Insya-Allah, inisiatif ini akan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah, di samping membuka peluang kepada peniaga kecil untuk memasarkan produk pada kos yang lebih rendah dan meningkatkan pendapatan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI