Berita

PDRM perkukuh keupayaan siasatan, tingkat keselamatan negara menerusi AI

Teknologi kecerdasan buatan (AI) membuka dimensi baharu dalam landskap keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang, khususnya dalam menghadapi jenayah yang semakin kompleks serta dipacu perkembangan teknologi. 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, pemanfaatan AI perlu dilaksanakan secara strategik dan bertanggungjawab dengan berteraskan prinsip etika, integriti, pematuhan undang-undang serta tadbir urus yang baik.

Untuk itu katanya, satu penganjuran Seminar Aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Siasatan Jenayah Moden dan Keselamatan Negara telah berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM Kuala Lumpur.

“Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 Ogos 2026 telah disertai seramai 389 peserta terdiri daripada pegawai polis berlainan pangkat dari seluruh kontinjen PDRM.

“Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah,” kata PDRM menerusi laman rasmi media sosialnya. 

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Puan Ainah Mohd Soon.

Menurut PDRM, mengangkat tema ‘Transformasi Kecerdasan Digital Dalam Mempertingkat Kecekapan dan Keberkesanan Siasatan Era MADANI’, seminar berkenaan menjadi platform perkongsian ilmu dan kepakaran dalam meneroka potensi teknologi AI.

Jelasnya, perkara itu penting bagi mempertingkat keupayaan penyiasatan serta mendepani cabaran keselamatan yang semakin kompleks dan dinamik.

Tambahnya, majlis turut menyaksikan gimik perasmian yang mengetengahkan teknologi robotik menerusi simulasi operasi menangkap suspek melibatkan Robot Dog dan AGIBOT X2, di samping memperlihatkan keupayaan teknologi robotik untuk bergerak dan berinteraksi secara responsif.

Katanya, demonstrasi tersebut memberi gambaran mengenai perkembangan teknologi robotik dan AI serta potensi aplikasinya dalam bidang penguatkuasaan, keselamatan dan operasi pada masa hadapan.

“Seminar yang diadakan diharap dapat memperkukuh pemahaman dan keupayaan warga PDRM dalam memanfaatkan teknologi AI secara beretika, selamat dan berkesan, selaras dengan keperluan menghadapi landskap jenayah serta cabaran keselamatan masa kini,” ujarnya. -MalaysiaMADANI