Sebanyak 1,495 Rakan Niaga SARA tersedia bagi memudahkan penerima mendapatkan barangan keperluan asas menggunakan manfaat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Sabah.
Selain itu untuk penduduk di Pantai Timur Sabah, orang ramai boleh mendapatkan manfaat sama di 33 Rakan Niaga di Semporna dan 115 di Tawau.
Meninjau pelaksanaan inisiatif kerajaan itu, Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah melakukan lawatan di DPRO Trading Sdn Bhd, Tawau.
Menurutnya, lawatan tersebut dilakukan sempena Program Turun Padang Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Program ini merupakan kesinambungan tinjauan pelaksanaan SARA di Pulau Bum Bum, Semporna,” kata MoF menerusi laman media sosialnya.
Katanya, pendekatan turun padang itu penting bagi melihat sendiri pelaksanaan bantuan kerajaan di lapangan, memastikan manfaat sampai kepada penerima yang layak serta memahami secara langsung keperluan dan realiti semasa rakyat.
Tambahnya, kerajaan akan terus memperkukuh pelaksanaan SARA agar bantuan dapat disampaikan dengan mudah, berkesan dan menyeluruh, khususnya kepada golongan yang memerlukan.
“Usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk terus turun ke lapangan, mendengar denyut nadi rakyat dan memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat dalam kehidupan seharian rakyat,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
