Berita

Malaysia catat momentum kukuh, pertumbuhan 6% pada suku kedua

Ekonomi Malaysia terus mencatat momentum kukuh dengan pertumbuhan 6.0 peratus pada suku kedua 2026 (S2 2026), mengatasi anggaran awalan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan jangkaan pasaran sebanyak 5.8 peratus.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata, prestasi tersebut merupakan pertumbuhan suku kedua paling kukuh di luar tempoh pandemik sejak 2014.

Katanya, pencapaian baik itu didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, penggunaan swasta yang terus berkembang serta prestasi kukuh sektor luar negeri.

“Aktiviti perdagangan dan perindustrian turut mengukuh, manakala pelaburan swasta dan awam terus menyokong pertumbuhan melalui pelaburan dalam sektor teknologi dan pelaksanaan infrastruktur kritikal di seluruh negara,” kata MoF menerusi laman media sosialnya.

Pada masa yang sama, menurutnya, inflasi kekal terkawal pada 1.9 peratus dan kadar pengangguran berada pada 3.0 peratus, mencerminkan asas ekonomi domestik yang kekal kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan global.

Untuk itu katanya, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh daya tahan ekonomi negara, melindungi kesejahteraan rakyat serta memastikan momentum pertumbuhan diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pendapatan dan manfaat ekonomi yang lebih luas. -MalaysiaMADANI