Berita

Tiket MADANI berharga RM200 untuk rakyat Malaysia saksikan F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix

Pastinya ramai peminat sukan permotoran mahu menyaksikan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober ini.

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, Bahrain menanggung yuran hak penganjuran Formula 1 bagi perlumbaan berkenaan.

Azhan juga menyatakan berdasarkan rundingan awal, semua hasil jualan tiket akan disalurkan kepada negara itu, sekali gus menjadikan keputusan mengenai harga tiket tertakluk kepada Bahrain.

Beberapa minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan sedang mempertimbang penjualan Tiket MADANI sempena Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026.

“Alhamdulillah, hasil perbincangan dan persetujuan bersama Bahrain, kerajaan sukacita mengumumkan Tiket MADANI khusus untuk pemegang MyKad pada harga serendah RM200 bagi akses sepanjang tiga hari acara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri berkata, semoga inisiatif itu membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman Formula 1 secara langsung di Sepang.

Menurut beliau, butiran lanjut akan diumumkan oleh pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam masa terdekat. -MalaysiaMADANI