Berita

Malaysia-Jepun kukuh hubungan dua hala, erat kerjasama maritim

Hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun terus diperkukuh menerusi kunjungan hormat oleh Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, H.E Kaneko Yasushi ke atas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. 

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataannya berkata, sesi kunjungan hormat tersebut turut disusuli dengan majlis pertukaran Memorandum Kerjasama (MOC) antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Japan Coast Guard (JCG).

Menurutnya, MOC yang dimeterai itu mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan maritim.

“Pertemuan tersebut turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu berkepentingan bersama serta meneroka usaha bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan Jepun,” kata KDN menerusi laman media sosialnya.

Menurutnya, KDN akan terus komited untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Jepun serta memastikan kerjasama yang terjalin dapat dipertingkan.

Jelasnya, bidang keselamatan dan penguatkuasaan maritim adalah perkara penting yang perlu dipertahankan demi kedaulatan negara dan kepentingan bersama.

Delegasi Malaysia dihadiri oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman; Ketua Pengarah APMM, Laksamana (M) Datuk Mohd Rosli Abdullah; Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN; Datuk Zulkifli Abidin serta Setiausaha Bahagian Antarabangsa KDN, Mohd Azlan bin Razali. -MalaysiaMADANI