Berita

Selamat jalani prosedur pembedahan, PM ucap terima kasih atas titipan doa

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut.

Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah berkata, prosedur tersebut berjalan lancar di bawah kendalian pasukan pakar perubatan.

“Beliau (Perdana Menteri) kini sedang menjalani rawatan fisioterapi serta berada di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan dan keafiatan beliau, serta atas ingatan dan ucapan sempena ulang tahun kelahiran ke-79 pada Isnin.

“Alhamdulillah, keadaan kesihatan YAB Perdana Menteri semakin baik dan beliau akan terus menjalani rawatan fisioterapi di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, menurut beliau, Perdana Menteri turut memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam sidang khas bagi membahaskan Laporan RCI Tabung Haji.

Namun begitu kata beliau, Perdana Menteri mendoakan agar persidangan berjalan lancar. 

“Beliau akan mengikuti perbahasan secara dekat demi memastikan amanah institusi umat Islam ini terus dipelihara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI